KEMPEN QURBAN KEARAH KEBAJIKAN

TV 3 (18 NOVEMBER 2008)

(courtesy of TV3)

.........................................................................

Lazimnya, apabila memasuki bulan Zulhijjah, masyarakat muslim akan mengingati kembali peristiwa ketaatan Nabi Ibrahim dalam menyahut perintah Allah untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail. Lanjutan daripada peristiwa tersebut, ritual korban kambing biri-biri yang menggantikan Ismail tersebut akhirnya diwarisi di kalangan masyarakat Islam hingga ke hari ini sebagai lambang pengorbanan sesuatu yang sangat berharga.  Sesungguhnya amalan qurban adalah satu ibadah mulia yang sunat dilakukan pada Eidul Adha dan hari-hari tasyriq (11,12 dan 13 Zulhijjah).
Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika hari raya Eidul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan tanduk,bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak disuatu tempat disisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, bahagiakan dirimu dengannmya.”

(HR. Ahmad, At Tirmidzi dan Ibnu Majah).

"Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah."   
(Surah al-Kauthar:2)

Telah disebut di dalam Al-Quran kewajipan melaksanakan ibadah Qurban bagi mereka yang berkemampuan dan hikmah melaksanakannya. Inilah masanya untuk kita merapatkan jurang antara yang fakir dan kaya, antara yang kuat dan lemah dan antara yang berkuasa dan tidak berdaya. Inilah peluang untuk umat Islam meningkatkan ketakwaan terhadap Allah dan nilai kemanusiaan sesama manusia. Amalan Qurban dengan tujuan beribadat kepada Allah tidak boleh dilupakan memandangkan masih banyak lagi saudara-saudara kita di seluruh dunia yang masih lagi menghadapi masalah kemiskinan dan kedaifan.

‘Qurban Ke Arah Kebajikan’

Selaras dengan tuntutan syarak, Islamic Relief Malaysia (IRM) telah melancarkan kempen ‘Qurban ke arah kebajikan ’. IRM adalah agensi bantuan dan pembangunan sosial antarabangsa yang mempunyai status perundingan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang ditubuhkan di Birmingham, UK pada tahun 1984. Islamic Relief telah mengembangkan objektifnya berbentuk bantuan kemanusiaan dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, pembangunan komuniti dan pendidikan di 35 buah negara seluruh dunia.
Bertemakan `Qurban Ke Arah Kebajikan`, program ini bermatlamat untuk membantu mengurangkan penderitaan dan kebuluran di kalangan masyarakat miskin di seluruh dunia di samping menyediakan pek makanan berkhasiat sebagai satu usaha untuk membanteras malnutrisi di kalangan keluarga miskin yang memerlukan bantuan.  Setiap makanan yang disalurkan mengandungi sekurang-kurangnya karbohidrat dan tenaga (60%), protein (35%) dan lemak (5%). 

Qurban Peringkat Global

Melalui kempen ini, pihak IRM memberi peluang kepada masyarakat Malaysia untuk melaksanakan ibadah qurban di 28 buah negara termasuklah Malaysia, Somalia, Bangladesh, Afghanistan, Sri Lanka, India, Sudan, Malawi, Ethiopia, Kenya, Niger, Pakistan, Chad, Malim China, Bosnia, Kosovo, Iraq, Chechnya, South Africa, Yemen,Indonesia, Albania, Turkey, Jordan,Egypt dan Lebonan.

Pada kebiasaannya, daging qurban segar akan di agihkan kepada fakir miskin.  Tetapi konsep yang berbeza telah diperkenalkan oleh IRM dengan membuat pengagihan daging Qurban dalam tin kepada negara-negara yang mengalami penderitaan dan kemiskinan.  Untuk tahun 2008, sebanyak 10,000 ekor kambing biri-biri telah dibawa masuk ke Malaysia dari Arab Saudi untuk menjalani proses pembuangan tulang (debonding) dan juga proses pengetinan sebelum dihantar ke negara-negara miskin yang telibat dengan program ini.

Konsep pengagihan daging qurban yang bersistematik dan teratur kepada golongan yang amat memerlukannya merupakan agenda utama Islamic Relief dalam menyampaikan amanah orang ramai. Melalui cawangan Islamic Relief di seluruh dunia, pengagihan akan dibuat kepada mereka yang betul-betul layak menerimanya bagi memastikan ibadah qurban yang ditunaikan  ini akan mencapai matlamatnya agar manfaatnya dapat dirasai oleh masyarakat Islam di seluruh dunia.
 
Sempena kempen ‘Qurban ke arah kebajikan’  pihak IRM telah mensasarkan untuk  mengagihkan daging Qurban dan bantuan makanan kepada 3000 keluarga miskin di Malaysia dan seluruh dunia. Oleh itu pihak IRM menyeru agar rakyat Malaysia yang prihatin turut sama memberi sumbangan agar objektif kempen ‘Qurban ke arah kebajikan’ dapat direalisasikan. Untuk maklumat lanjut sila layari laman web rasmi islamic relief malaysia www.irm.org.my atau menghubungi pihak Islamic Relief Malaysia di talian 03-89486334.