MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PROJEK PEMPROSESAN DAGING QURBAN 2008

Kuala Lumpur, 26 Jun 2008- Islamic Relief Malaysia (IRM) hari ini dengan kerjasama Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani Malaysia (MOA) dan Parlimen Malaysia telah mengadakan Majlis Menandatangani Perjanjian“Projek Pemprosesan Daging Qurban 2008” bertempat di Parlimen Malaysia.

Majlis ini telah disempurnakan oleh tetamu kehormat iaitu Yang Berhormat Dato’ Mustapa Mohamed, Menteri di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia. Turut hadir ke majlis ini adalah Pengarah Operasi, Islamic Relief Worldwide, Dr.Adel Shabir, Pengurus Negara, Islamic Relief Malaysia Berhad, YBhg. Encik Zawahir Che Abdullah, Presiden Hadhari Cattle Industry Sdn.Bhd., YBhg.Mejar Jen(B)Datuk Hashim Karim, dan Pengarah Eksekutif,Pertima Trengganu Sdn.Bhd.,YBhg. Encik Razaki Putih.

Majlis menandatangani perjanjian Projek Pemprosesan Daging Qurban 2008 di antara Islamic Relief Worldwide dan dua buah syarikat tempatan iaitu Pertima Trengganu Sdn.Bhd. dan juga Hadhari Cattle Industry Sdn.Bhd. merupakan permulaan kepada pelaksanaan Projek Pemprosesan Daging Qurban 2008.
Pelaksanaan projek Pemprosesan Daging Qurban 2008 merupakan suatu projek yang julung-julung kali diadakan di Malaysia kerana sebelum ini ia telah dijalankan di Australia dan New Zealand. Ini merupakan satu penghormatan bagi Malaysia kerana telah diberi kepercayaan oleh agensi antarabangsa untuk menjalankan projek ini. Ia juga merupakan satu gabungan kerjasama pintar (smart partnership) di antara Islamic Relief Malaysia(IRM) dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan JAKIM.

Di samping itu juga pelaksanaan projek ini telah memberi peluang kepada dua buah syarikat tempatan iaitu `Pertima Trengganu Sdn.Bhd.` dan juga `Hadhari Cattle Industry Sdn.Bhd.’ untuk terlibat secara langsung di dalam projek pemprosesan daging Qurban 2008.

Sebanyak 20,000 ekor kambing biri-biri yang telah siap disembelih dari Arab Saudi akan dibawa masuk ke Malaysia melalui Pelabuhan Pulau Pinang dan dijangka tiba pada akhir Jun 2008. Keseluruhan 20,000 ribu ekor kambing biri-biri tersebut akan menjalani proses pengasingan tulang (deboning) di kilang Hadhari Cattle di Jitra Kedah. Dianggarkan sebanyak antara 170 hingga 200 tan daging akan diperolehi selepas proses pengasingan tulang disiapkan.

Seterusnya, daging qurban tersebut akan diproses untuk dijadikan produk “Corned Mutton” dan ditinkan dengan saiz 454 gm di kilang Pertima Trengganu Sdn.Bhd.,Chendering, Terengganu. Dianggarkan sebanyak lebih kurang 300,000 ribu tin“Corned Mutton” akan dapat dihasilkan daripada daging qurban tersebut. Keseluruhan pemprosesan ini dijangka akan mengambil masa selama 2 bulan dan dijangka siap
sepenuhnya pada pertengahan September 2008 sebelum dieksport semula untuk diagihkan kepada fakir miskin melalui usaha-usaha kemanusiaan Islamic Relief di seluruh dunia di mana Islamic Relief bekerja.
Program pengagihan daging qurban ini merupakan salah satu daripada aktiviti tahunan Islamic Relief. Setiap tahun lebih kurang 80,000 ekor biri-biri dan juga lembu (qurban) akan diagihkan kepada fakir miskin di seluruh dunia.

Pada tahun 2007 sahaja, seramai 1,969,753 orang telah mendapat manfaat daripada
program ini dan ia melibatkan sebanyak 27 buah negara di seluruh dunia, antaranya
adalah seperti Afganistan, Albania, Bangladesh, Indonesia, Palestin dan sebagainya.Bhd.